Pages

Wednesday, November 3, 2010

Memberi maaf

Bismillahirrahmanirrahim..


Seringkali kita menghadapi kesukaran untuk memaafkan orang yang
pernah melakukan kesilapan terhadap kita. Adakalanya kita masih
terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap kita
bertahun-tahun yang lampau dan ianya masih lagi menjejaskan hubungan
kita dengan pihak tersebut. Ini secara tidak langsung menyalahi
perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mencintai sesama muslim.


KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN

1) Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah
Allah Subhanahu wa Ta'ala dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mengkategorikan mereka yang pemaaf
termasuk dalam golongan muttaqin (orang yang bertaqwa). Firman-Nya:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk
mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang
bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-
orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada
masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya,
dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah),
Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
(Aali Imraan (3) : 133-134)

2) Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkan mereka yang pemaaf serta
menempatkan mereka di syurga.

Dari ayat di atas ini juga dapat kita membuat kesimpulan bahawa
mereka yang pemaaf mudah mendapat keampunan Allah Subhanahu wa
Ta'ala dan akan ditempatkan di syurga. Di ayat yang lain Allah 'Azza
wa Jalla berfirman:

… dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan
kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah
mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihani. (al-Nuur (24) : 22)

3) Sikap pemaaf merupakan akhlak yang mulia yang dituntut oleh
syarak

Sikap mudah memaafkan orang lain merupakan suatu akhlak yang mulia
lagi terpuji dan ianya tergolong dalam amalan yang amat digalakkan
perlaksanaannya oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Firman-Nya:

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan
(kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah
dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
(al-Syuura (42) : 43)

4) Allah Subhanahu wa Ta'ala mengasihi mereka yang pemaaf
Allah Subhanahu wa Ta'ala mengasihi mereka yang mudah memaafkan
kesalahan orang lain. Firman-Nya:

… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah),
Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
(Aali Imraan (3) : 134)

Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala akan mudah mendapat rahmat serta keampunan-Nya.

Demikianlah beberapa keutamaan yang sempat diketengahkan untuk
menunjukkan betapa agungnya sikap mudah memaafkan serta melupakan
kesalahan orang lain terhadap kita.



Artikel ni ana copy n paste shj drpd sumber yg ana dapat. Diharapkan perkongsian sedikit ini dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian. :)