Pages

Saturday, January 15, 2011

Pertahankan Syiar Islam

KUALA LUMPUR, 14 Jan: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal dengan sikap Datuk Seri Najib Razak ekoran kegagalannya mempertahankan syiar Islam dalam isu bantahan Azan di Masjid Al Ikhlasiah, Lembah Pantai.

Naib Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sangat malang bagi rakyat Malaysia yang majoriti Islam, namun perdana menterinya tidak mempunyai wibawa dan ketegasan bagi membela syiar dan syariat Islam.

"Kita merasa kesal dan kecewa dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang tunduk kepada permintaan seorang ahli MCA yang mahukan suara azan di Masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam diperlahankan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan azan yang didakwa 'terlalu lantang' di Majid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi oleh seorang peguam yang didakwa ahli MCA aeumur hidup.

Peguam tersebut yang tinggal di pangsapuri Pantai Hill Park juga didakwa menghantar terus surat aduannya kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jawi.

Difahamkan, setelah perbincangan diadakan, pihak masjid kemudiannya diarah memperlahankan pembesar suara di masjid tersebut.

"Kita mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan Jawi tunduk kepada tekanan ini hanya kerana beliau seorang ahli parti komponen BN?

"Isu ini membuktikan bahawa Umno bukanlah parti yang mampu membela dan mempertahankan Islam, kerana mereka sendiri terpaksa akur dengan tuntutan ahli-ahli parti komponennya.   

Menurut Suhaimi lagi, seluruh umat Islam tidak boleh menerima dan merasa terpukul dengan arahan tersebut yang menganggap ia adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

"Bagi kaum bukan Islam, azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam.

"Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang," terangnya lagi.

Beliau turut mempersoal, mengapa hanya dengan satu aduan daripada seorang ahli MCA, pihak Jawi dengan serta merta mengarahkan azan diperlahankan.

Apa yang dibimbangi ujarnya, jika aduan sama dibuat kepada masjid-masjid di tempat lain tindakan dan arahan sama akan turut dibuat oleh pihak berkuasa agama.

"Kita bimbang sekiranya berlaku nanti ada masjid terpaksa dibuang pembesar suara kerana dianggap mengganggu penduduk sekitar dan pihak kerajaan melayan tuntutan mereka," jelasnya. 


www.harakahdaily.net

*p/s: lihatlah realiti zaman sekarang. semakin lama Islam semakin dicabar. Adakah kita akan biarkan azan tidak lagi kedengaran berkumandang di masjid? Ayuh kita pemuda pemudi penggerak Islam teruskan berjuang utk tegakkan Islam di muka bumi ini terutamanya di tanah air kita sendiri. Jangan biarkan Islam sewenang-wenangnya dipijak oleh kaum kuffar dan munafik.